Thursday 22 November 2012

                                        SISTEM BAHASA
Sistem bahasa berfokus pada pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa. Penerangan ringkas bagi perkara tersebut dinyatakan di bawah:

a. Tatabahasa
Tatabahasa hendaklah dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan secara terancang dalam konteks untuk ketepatan berbahasa. Kandungan tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaksis.
 
I. Morfologi
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses
pengimbuhan, pemajmukan, dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam golongan kata yang sama. Aspek morfologi yang diberikan tumpuan ialah:

i. Struktur kata yang merujuk kepada pola suku kata bagi:
- kata asli bahasa Melayu
- kata pinjaman bahasa Melayu

ii. Bentuk kata terdiri daripada:
- kata tunggal
- kata terbitan
- kata majmuk
- kata ganda
Proses pembentukan kata bahasa Melayu meliputi:
- pengimbuhan
- penggandaan
- pemajmukan
Antara ketiga-tiga proses pembentukan di atas, yang amat kompleks ialah pengimbuhan. Oleh itu, penekanan hendaklah diberikan pada aspek penggunaan imbuhan yang betul dari sudut bentuk dan makna, termasuk aspek baru dalam proses pengimbuhan.

iii. Golongan kata terdiri dar ipada:
- kata nama
- kata ker ja
- kata adjektif
- kata tugas

II. Sintaksis
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat.
Aspek sintaksis yang diberikan tumpuan ialah:

i. Unsur utama ayat yang terdiri daripada kata, frasa, klausa dan pembinaannya, serta pembahagian subjek dan predikat

ii. Jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan

iii. Ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif

iv. Susunan ayat, iaitu susunan biasa dan songsang

v. Binaan ayat:
- ayat dasar
- ayat tunggal
- ayat terbitan atau majmuk

vi. Proses penerbitan ayat:
- konsep ayat terbitan
- proses pengguguran
- proses penyusunan semula
- proses peluasan

vii. Aspek tanda baca

b. Sistem Ejaan Perkara yang ditekankan ialah:
i. Pola keselarasan huruf vokal
ii. Ejaan kata pinjaman
iii. Ejaan kata dasar dan kata terbitan

c. Sebutan dan Intonasi
Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang dipupuk ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat.

i. Sebutan
Sebutan diajarkan supaya murid dapat menyebut kata dengan betul. Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hendaklah sebutan bahasa Melayu baku.

ii. Intonasi
Intonasi ayat bahasa Melayu hendaklah diajarkan mengikut pola ayat yang berikut:
- ayat penyata
- ayat tanya
- ayat perintah
- ayat seruan
- ayat terbalik atau songsang
- ayat aktif
- ayat pasif
Pola intonasi bagi ayat yang panjang juga per lu diajarkan
agar murid dapat menyampaikan maksud dengan jelas.

d. Kosa kata
Kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata di peringkat sekolah rendah perlu dikukuhkan, ditingkatkan dan dikembangkan selaras dengan pertambahan ilmu dalam mata pelajaran peringkat sekolah
rendah.

e. Peribahasa 
Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan dan kata hikmat yang perlu diajarkan dalam pendidikan Bahasa Melayu. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia. Peribahasa hendaklah
diajarkan dalam konteks. Buku-buku peribahasa Melayu boleh dijadikan sumber rujukan.

Sunday 18 November 2012

Hasil Pembelajaran Bahasa Melayu Tahun 3


















ORGANISASI KURIKULUM

Kandungan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu SJK Tahun 3 ini meliputi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Semua perkara ini dinyatakan seperti di bawah:

a. Kemahiran Bahasa
Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami, dan menghayati perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.

Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk menjalin hubungan, menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif, dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul.

Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi,  jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca.

Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan ilmu dan imaginatif.

b. Hasil Pembelajaran
Hasil pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang set kemahiran yang perlu dicapai oleh murid. Hasil pembelajaran dibina dengan menyepadukan kemahiran bahasa, sistem bahasa, dan pengisian kurikulum. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran yang pelbagai dapat membantu murid mencapai hasil pembelajaran. Selain itu, hasil pembelajaran juga membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.

c. Sistem Bahasa
Sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pendidikan Bahasa Melayu membolehkan murid menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku.

d. Pengisian Kurikulum
Pengisian kurikulum terdiri dar ipada elemen yang mencantumkan teras utama dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan perkembangan terkini dalam pendidikan, iaitu ilmu, nilai murni, kew arganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, nilai murni, serta patriotisme dan kewarganegaraan diberikan penekanan selaras dengan matlamat negara untuk membangunkan masyarakat madani.