Sunday 18 November 2012

ORGANISASI KURIKULUM

Kandungan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu SJK Tahun 3 ini meliputi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Semua perkara ini dinyatakan seperti di bawah:

a. Kemahiran Bahasa
Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami, dan menghayati perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.

Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk menjalin hubungan, menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif, dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul.

Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi,  jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca.

Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan ilmu dan imaginatif.

b. Hasil Pembelajaran
Hasil pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang set kemahiran yang perlu dicapai oleh murid. Hasil pembelajaran dibina dengan menyepadukan kemahiran bahasa, sistem bahasa, dan pengisian kurikulum. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran yang pelbagai dapat membantu murid mencapai hasil pembelajaran. Selain itu, hasil pembelajaran juga membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.

c. Sistem Bahasa
Sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pendidikan Bahasa Melayu membolehkan murid menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku.

d. Pengisian Kurikulum
Pengisian kurikulum terdiri dar ipada elemen yang mencantumkan teras utama dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan perkembangan terkini dalam pendidikan, iaitu ilmu, nilai murni, kew arganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, nilai murni, serta patriotisme dan kewarganegaraan diberikan penekanan selaras dengan matlamat negara untuk membangunkan masyarakat madani.

2 comments:

  1. Maklumat ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja terutama saya sebagai seorang guru

    ReplyDelete
  2. Maklumat ini dipetik daripada huraian sukatan pelajaran bahasa Melayu, jadi maklumat ini adalah tepat dan betul.

    ReplyDelete